Sunday, 29 May 2011

Selamat Bercuti kepada semua siswa guru IPG KTI!!!

Lajnah Usrah & Tarbiyah (USTAR), PERMATA mengucapkan Selamat Bercuti kepada semua siswa guru IPG kampus Temenggong Ibrahim. Semoga dapat kita manfaatkan masa cuti ini dengan kegiatan yang berfaedah kepada agama, diri, keluarga dan komuniti.
إن شاء الله

Friday, 27 May 2011

Ziarah Team Jaulah dari IPG KTHO

Pada 8 Mei 2011 (Ahad) yang lalu, pihak PERMATA telah menerima kunjungan tidak rasmi kumpulan rombongan program jaulah dari IPG Kampus Tun Hussien Onn, Batu Pahat, Johor. Rombongan yang terdiri dari 8 orang ikhwah dan 9 orang akhawat yang menyertai program jaulah ke Johor Bahru, telah sudi untuk singgah sebentar di Surau Al-Jawahir untuk berehat seketika disamping solat Zuhur secara berjemaah. Para tetamu telah dijamu dengan sedikit juadah ringkas yang telah disediakan oleh pihak PERMATA.

Setelah beramah mesra dan berdiskusi, rombongan telah meneruskan perjalanan tepat jam 3.30 petang. Diharapkan agar pihak rombongan IPG KTHO berpuas hati dengan layanan yang telah kami pihak PERMATA berikan. Moga pertemuan kita ini memberikan manfaat kepada semua disamping menyuburkan benih ukhuwah diantara IPG Kampus Tun Hussein Onn dan Kampus Temenggong Ibrahim. Insya Allah.

Ikhwah beramah mesra sambil menikmati juadah.


Akhawat tekun mendengar pandangan.

Barisan delegasi IPG Kampus Tun Hussein Onn bergambar bersama wakil PERMATA

Wednesday, 25 May 2011

Usrah Sebagai Tunjang dalam Tarbiah Harakiah

Proses tarbiah Islamiah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.
 
Usrah yang berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna keluarga, merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah. Proses pembentukan itu bermakna makna penekanan dan perbincangan dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh. Penekanan itu ialah terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi). Penekanan itu akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.
 
Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan ‘amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.
 
Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasi oleh kebatilan yang kemas. Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar pelaksanaannya yang berkesan akan menguntungkan Islam dan jamaah.