Usrah?

 Perkataan usrah berasal dari kalimah Arab, الأسرة yang bermaksud keluarga. Manakala menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, keluarga bermaksud kaum, saudara mara, kaum kerabat, sanak saudara atau pun ia disebut sebagai Famili. Di dalam kamus al-Munjid Fi al- lughatu Wa al-A’lam adalah mufrad kepada  (أسر ) iaitu satu kumpulan yang mempunyai hubungan yang kukuh.

Manakala dari segi istilahnya pula, usrah bermaksud kumpulan atau individu atau mukmin yang beriman dengan agama Islam, berusaha dan tolong- menolong di antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam berdasarkan kepada perintah Allah di dalam surah al-Maaidah ayat 2 yang bermaksud;

 “ Dan hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolong dalam membuat dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaan-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya).

Pembentukan Usrah yang pertama yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w ialah di rumah al-Arqam bin Abi –Arqam. Rasul mengajar mereka yang hadir setiap ayat Quran yang diturunkan. Baginda juga menekankan proses pembinaan sifat-sifat luhur seperti baik hati,amanah, bertanggungjawab, bercakap benar, berani dan sebagainya di dalam diri para sahabat.

Jelaslah di sini bahawa ‘usrah’ bukan sahaja tempat untuk menyampaikan atau mendapatkan ilmu, malahan ia merupakan tempat untuk sesama ahli kumpulan membincangkan sesuatu masalah yang timbul dan juga tempat untuk membentuk peribadi dan sahsiah ahli usrah dan bertolong-tolong apabila ada ahli yang ditimpa kesusahan. Usrah juga merupakan satu medium dakwah untuk berdialog mengenai Islam secara dinamik. Dengan ini ia dapat meningkatkan mutu ukhuwah atau persaudaraan antara pelajar, pensyarah, kakitangan akademik dan pentadbiran serta semua warga kampus.






Rukun Usrah

(1) Ta'aruf
Ini adalah rukun pertama. Kenal-mengenalilah antara satu sama lain dan wujudkanlah suasana kasih-sayang sesama kamu dengan roh Allah. Hayatilah nilai persaudaraan yang sebenar dan ideal sesama kamu. Berusahalah sedaya-upaya supaya kamu tidak melakukan sesuatu yang boleh mengeruhkan hubungan kamu. Sentiasalah laksanakan ayat-ayat al-Qur'an dan hadith-hadith yang mulia.

(2) Tafahhum
Inilah rukun kedua dalam sistem ini. Istiqamahlah di astas jalan yang benar. Laksanakanlah segala perintah Allah dan jauhilah segala larangan Allah. Nilailah diri kamu sehalus-halusnya; adakah kamu orang-orang yang taat atau orang yang derhaka.
Setelah itu hendaklah kamu nasihatkan saudara kamu jika kamu melihat ada kelemahan padanya. Hendaklah saudara menerima nasihat daripada saudara kamu dengan gembira dan senang hati. Berterima-kasihlah kepadanya kerana nasihatnya itu. Janganlah saudara yang memberi nasihat itu berubah hati walaupun sebesar kuman sekalipun terhadap saudara yang dinasihati. Janganlah sehingga dia merasakan saudaranya itu lebih rendah daripadanya atau dia merasakan dia lebih baik daripada saudaranya itu.

(3) Takaful
Ini adalah rukun ketiga. Hendaklah kamu saling bantu-membantu, pikullah tanggungjawab bersama-sama. Inilah tanda keimanan dan teras persaudaraan. Hendaklah kamu berjanji untuk saling bertanya khabar dan membuat kebajikan. Hendaklah kamu sentiasa bersedia membantu saudara kamu setiap kali diperlukan. Hayatilah sabda RasuluLlah SAW:
Jika salah seorang di antara kamu berjalan kerana mahi menunaikan keperluan saudaranya itu, (ia) adalah lebih baik daripada dia beriktikaf selama sebulan di masjid saya ini.
Sesiapa yang membawa kegembiraan kepada sebuah keluarga muslim, Allah akan memperlihatkan kepadanya ganjaran yang tidak kurang daripada syurga.
(Sumber: Risalah Sistem Usrah, Hasan al-Banna)